KUALA LUMPUR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetengahkan tentang perlunya bersikap proaktif dalam menarik pelaburan terutama dalam bidang ekonomi baharu seperti hidrogen hijau, CCUS dan tenaga diperbaharui.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak mengetengahkan perkara itu semasa bermesyuarat dengan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini.
Dalam mesyuarat berkenaan, Awang Tengah juga membincangkan pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama termasuk kemampuan Sarawak sebagai hab tenaga hijau dan diperbaharui di wilayah ini.
Untuk mempercepatkan pertumbuhan industri terbabit, beliau berkata, kerajaan harus memperkenalkan insentif bersasar dan dasar yang baik.
Kedua-duanya bersetuju bekerjasama menarik dan meyakinkan lebih banyak pelaburan ke Sarawak.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED, Dato Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, CEO RECODA, Datu Ismawi Ismuni dan CEO InvestSarawak, Timothy Ong.